Azmin serah kepada SPR tentukan tindakan terhadap Manogaran - Utusan Malaysia

Azmin serah kepada SPR tentukan tindakan terhadap Manogaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jan. – Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat sebarang keputusan berhubung tindakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran yang memasuki pusat mengundi hari ini dengan memakai baju yang mempunyai logo gabungan tersebut.

Naib Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, beliau yakin Suruhanjaya tersebut akan memantau proses pilihan raya hari ini dengan baik.

“Saya serah kepada SPR, itu bidang kuasa SPR. Sudah tentu SPR akan pantau perjalanan proses pilihan raya hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya serahkan kepada SPR untuk menentukan sama ada itu dibolehkan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di selepas menghadiri Majlis Pelancaran 3R On Wheels dan Kad Mesra di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.

Sebelum ini, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mempersoalkan petugas SPR kerana membenarkan Manogaran memasuki pusat mengundi memakai baju mempunyai logo PH.

Dr. Asyraf Wajdi yang berkongsi dua gambar Manogaran memakai baju mempunyai logo PH di dalam pusat menggundi Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut di Facebook beliau sebentar tadi.

Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menetapkan tiada seorang pun boleh pada hari mengundi dalam jarak lima puluh meter dari sempadan mana-mana tempat  mengundi  dan dalam  tempat  mengundi, memakai,  memegang  atau membawa  apa-apa  bentuk atau  jenis  pakaian,  tutup  kepala,  barang  hiasan,  roset, botol air atau payung yang pada nya tercetak atau tertera nama calon atau nama, lambang atau simbol mana-mana parti politik.

Mengikut akta tersebut mana-mana orang yang melanggar mana-mana peruntukan subseksyen boleh apabila  disabitkan, dipenjarakan selama tempoh  tidak melebihi  satu  tahun  atau didenda  tidak  melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Sesuatu  kesalahan di bawah subseksyen ialah kesalahan  boleh  tangkap  mengikut pengertian Kanun  Tatacara Jenayah.-UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×