3 maut, seorang parah kereta masuk longkang - Utusan Malaysia

3 maut, seorang parah kereta masuk longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG 26 Jan. – Tiga maut dan seorang cedera parah apabila kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naikki terbabas dan terjunam ke dalam longkang di Jalan Rantau Panjang-Pasir Mas berhampiran Lubok Jong di sini awal pagi tadi.

ANGGOTA bomba sedang berusaha menyelamat mangsa
ANGGOTA bomba sedang berusaha menyelamat mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Rantau Panjang -Pasir Mas berhampiran Lubok Jong awal pagi tadi. -Foto ihsan Bomba

Dalam nahas kira-kira 2.10 pagi, Mohd Zainal Zainuddin, 33, Mohd Zakaria Zainuddin, 22, dan Muhammad Syadzaa Mohd Salleh, 23 maut di lokasi.

Mangsa yang parah Mohd Shakirim Hafizi Mohammad Shamsudin, 22, kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

Menurut Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, siasatan awal mendapati kereta Perodua Myvi dipandu Mohd Zainal datang dari Rantau Panjang menghala ke Pasir Mas.

“Ketika tiba di lokasi nahas, pemandu hilang kawalan secara tiba-tiba lalu terbabas dan masuk ke dalam longkang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas Azmi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.14 pagi.

Menurutnya, seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat dan mereka mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

 “Hasil pemeriksaan yang dilakukan, tiga daripada mereka disahkan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

 “Seorang lagi mangsa cedera parah telah dihantar ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×