CAMERON HIGHLANDS 26 Jan. – Faktor tidak mahu beratur panjang dan ingin segera ke kebun menyebabkan pengundi di sekitar Kampung Raja di sini mengambil peluang keluar awal bagi menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands hari ini.
Rata-rata pengundi di sini yang menjalankan aktiviti pertanian datang seawal pukul 7.30 pagi walaupun pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja dibuka pada pukul 8 pagi.

Seorang pengundi, Lau Lai Cheen, 51, berkata, dia tiba awal di pusat mengundi itu kerana mahu mengelak daripada beratur panjang selain tidak mahu terlewat ke kebun bunga.
Malah katanya, cuaca yang baik sejak pagi juga menyebabkan dia mengambil keputusan datang awal ke pusat berkenaan.
“Saya lega apabila selesai mengundi dan tidak perlu beratur panjang. Selepas ini saya akan terus ke kebun untuk menyambung kerja,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Bagi, Mohd. Khusyairi Ismail, 31, dia yang tiba pada pukul 7.50 pagi mengundi terlebih dahulu sebelum diikuti isterinya pada sebelah tengah hari.

“Datang awal tidak sesak dan tidak perlu beratur panjang. Lagipun saya akan bergilir-gilir dengan isteri untuk datang mengundi.
“Saya teruja untuk mengundi kali ini kerana menjalankan tanggungjawab dalam tempoh terdekat selepas pilihan raya umum Mei lalu,” katanya.
Sementara itu, S. S. Santhi, 48, berkata, dia datang awal untuk mengundi kerana perlu pergi ke tempat kerjanya di sebuah kedai di Kampung Raja sebagai pengawal keselamatan.
“Datang awal senang sebab tidak perlu tergesa-gesa dan beratur panjang. Lagipun, ia tidak ganggu masa bekerja saya,” katanya. – UTUSAN ONLINE










