KUALA TERENGGANU 26 Jan. – Jalan Ajil-Jerangau di Hulu Terengganu terpaksa ditutup kepada satu lorong berikutan kejadian tanah runtuh di Kampung Pela berhampiran jambatan dekat Sekolah Kebangsaan Perah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 11.50 malam itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif bagi ke destinasi masing-masing.
“Hasil perbincangan dengan pihak syarikat penyelenggaraan jalan, Roadcare jalan hanya dibuka untuk kenderaan ringan kawasan kampung sahaja dan ditutup sepenuhnya untuk kenderaan berat.
“Tiga laluan alternatif dibuka iaitu di
Jalan Kampung Tok Dor-Kampung Mok Mek-Felda Bukit Bading; simpang lampu isyarat Ajil-Bukit Perah-Marang dan di Bukit Besi-Jerangau-Kuala Dungun,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, polis dengan kekuatan 10 anggota di samping lima kakitangan Roadcare terlibat dalam operasi tanah runtuh itu.
Yang turut hadir ke lokasi kejadian ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim. – UTUSAN ONLINE.










