CAMERON HIGHLANDS 26 Jan. – Semua 29 buah pusat mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dibuka tepat pukul 8 pagi ini bagi membolehkan 31,639 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Daripada jumlah itu, sebanyak 17 buah pusat mengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata manakala 12 lagi pusat mengundi di DUN Jelai.
Tinjauan di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Raja di sini mendapati orang ramai telah mula hadir seawal pukul 7.30 pagi meskipun dalam keadaan cuaca sejuk dan dingin sekitar 14 darjah Celcius.

Pada PRK kali ini, seramai 32,008 orang layak mengundi iaitu pengundi biasa seramai 31,749 orang, 247 pengundi awal yang terdiri dalam kalangan pegawai dan anggota polis serta 12 orang pengundi pos Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Cameron Highlands menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor dan calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran serta dua calon Bebas iaitu bekas pensyarah, Sallehuddin Ab. Talib dan peladang tempatan, Wong Seng Yee.
Keputusan PRK kerusi itu dijangka diumumkan seawal jam 10 malam ini sama ada kerusi Parlimen itu kekal di tangan BN atau berjaya dirampas PH dan calon Bebas. – UTUSAN ONLINE










