ABU DHABI 26 Jan. – Emiriah Arab Bersatu (UAE) melengkapkan hari penuh kejutan apabila menyingkirkan juara bertahan, Australia 1-0 pada suku akhir Piala Asia, sebentar tadi.
Jaringan Ali Mabkhout pada minit ke-68 sudah cukup membawa tuan rumah melangkah ke separuh akhir buat kali ketiga dalam sejarah kejohanan.
Kemenangan di Stadium Hazza bin Zayed bakal menemukan UAE dengan tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar yang terdahulu turut melakar kejutan menumpaskan juara dua kali, Korea Selatan 1-0.
Ini adalah kemenangan pertama UAE ke atas Australia, kejayaan yang disambut dengan sorakan ribuan penyokong yang membanjiri stadium.
UAE yang memiliki pencapaian terbaik menduduki tangga ketiga pada 2015 akan berdepan Qatar, Selasa ini.
Satu lagi separuh akhir menemukan juara empat kali, Jepun dan Iran pada Isnin. – AGENSI










