SKUAD Pahang boleh dianggap antara pasukan pencabar dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) berdasarkan sejarah dan prestij tersendiri yang dimiliki pasukan itu.
Beberapa musim lepas, Pahang seakan ‘gergasi’ yang dibuai lena terutama selepas kejayaan meraih gelaran Piala Malaysia dua kali berturut-turut pada edisi 2013 dan 2014.
Namun, sejak dibimbing oleh pengendali berpengaruh negara, Dollah Salleh pada dua tahun lalu, skuad Tok Gajah mula mempamerkan bisa sehingga berjaya menamatkan kemarau trofi selama empat tahun dengan menjulang Piala FA musim lepas.
Karisma yang dimiliki oleh Dollah tidak perlu dipertikaikan lagi memandangkan pengalaman beliau membimbing beberapa pasukan dalam meraih trofi seperti Selangor, PDRM selain pernah membimbing Pahang selama empat musim pada 2009 hingga 2013.
Namun, keputusannya untuk mengekalkan hampir 100 peratus pemain tempatan pada musim lepas juga dilihat boleh menjadi resipi rahsia kerana menganggap barisan pemain sedia ada memiliki persefahaman yang jitu.
Keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengiktiraf pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan juga boleh dianggap sebagai bonus buat Pahang.
Susulan itu, Pahang tidak menunggu lama untuk mengesahkan pemain import baharu mereka yang juga ‘orang besi’ Liga M, Dickson Nwankaeme sebagai ayam tambatan baharu untuk saingan musim ini.
Nama Nwankaeme bukanlah asing memandangkan kredibiliti penyerang kelahiran Nigeria berusia 33 tahun itu pernah memberikan impak kepada pasukan Kelantan pada musim 2013 sebelum kemudiannya berkhidmat selama dua musim bersama Pahang.
Persoalannya ketika ini adakah musim 2019 bakal menjadi milik Pahang sekali gus menamatkan kemarau 15 tahun selepas kali terakhir menjulang trofi Liga Super pada edisi pertama diperkenalkan iaitu pada musim 2004.
Sekiranya mereka mampu mengekalkan rentak konsisten sepanjang musim, perkara tersebut tidak mustahil kerana di atas kertas, pasukan mereka dilihat berpotensi untuk merampas kejuaraan Liga Super yang didominasi oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini.











