Myanmar sekat bantuan kemanusiaan - Utusan Malaysia

Myanmar sekat bantuan kemanusiaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON 25 Jan. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran sekatan terbaharu dilaksanakan Myanmar terhadap bantuan kemanusiaan di negeri Rakhine yang kebanyakannya didiami etnik Rohingya, akan menjejaskan kira-kira 50,000 penduduk.

Kerajaan tempatan Rakhine pada bulan ini menyekat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi PBB daripada memasuki ke kawasan luar bandar di lima perkampungan di utara dan tengah negeri berkenaan.

Pejabat Koordinasi Hal Eh­wal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) mengumpulkan maklumat terkini daripada organisasi kemanusiaan tentang kesan sekatan di Kyauktaw dan Ponnagyun.

PBB mengedarkan nota me­ngenai maklumat terbabit kepada beberapa pegawai dan NGO bagi mendapatkan maklum balas serta perkembangan terkini berhubung situasi tersebut.

Sekatan memaksa organisasi bantuan mengurangkan atau menghentikan program sedia ada termasuk peruntukan penjagaan kesihatan, bekalan air bersih, pembinaan sekolah dan latihan guru.

OCHA memberi contoh di Kyauktaw, ‘perkhidmatan kesihatan bergerak di 15 kampung yang melibatkan 17,000 orang, termasuk kira-kira 1,600 orang yang dirawat setiap bulan namun terpaksa dihentikan’.

HAPUSKAN PEMBERONTAK

Tambah OCHA, pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak Ro­hingya, Tentera Arakan (AA) menyebabkan kira-kira 5,000 orang melarikan diri sejak awal bulan ini.

Presiden ­Myanmar, Win Myint­ ketika pertemuan dengan ketua komander menggesa tentera ‘menghapuskan’ AA.

Minggu lalu, PBB mendesak Myanmar membenarkan akses bantuan kemanusiaan yang ‘cepat dan tiada kawalan’ ke kawasan terjejas.

“Kami sedang berusaha menilai impak yang berlaku terhadap program kemanusiaan berikutan sekatan akses di perkampungan yang terjejas,” kata jurucakap OCHA di Myanmar, Pierre Peron ketika menjawab e-mel yang dikemukakan Reuters.

Tambah Peron, PBB sedang menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa di Rakhine bagi memudahkan aktiviti organisasi kemanusiaan.

NGO LUAH KEBIMBANGAN

Reuters menghubungi beberapa NGO yang terkesan de­ngan situasi tersebut bagi mendapatkan ulasan lanjut.

Salah satu daripada NGO berkenaan, Majlis Pelarian Norway (NRC) berkata, sama de­ngan kebanyakan organisasi lain, NRC tidak mempunyai akses untuk memberikan bantuan di kawasan yang terjejas dan penduduk yang melarikan diri.

“Kami menyediakan bekalan kecemasan dan bersedia untuk bertindak jika keadaan berubah,” kata Pemangku Pengarah NRC di Myanmar, Laura Marshall.

Dalam pada itu, beberapa organisasi bantuan meluahkan kebimba­ngan berhubung sekatan tersebut.

Myint tidak dapat dihubu­ngi bagi memberikan sebarang komen.

Beliau sebelum ini berkata, sekatan itu dibuat bagi tujuan keselamatan dan tidak tahu berapa lama akan dilaksanakan.

ARAKAN BERTINDAK

Rakhine telah dilanda pelbagai insiden keganasan sejak beberapa tahun kebelaka­ngan ini dan pada 2017, operasi penghapusan etnik oleh tentera Myan­mar disusuli serangan oleh kumpulan pemberontak Muslim Rohingya telah menyebabkan kira-kira 730,000 etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.

AA yang didakwa dalang di sebalik serangan baru-baru ini menuntut autonomi yang lebih besar dari kerajaan Rakhine.

Anggota AA membunuh 13 anggota polis dan mencederakan sembilan orang dalam siri serangan terhadap empat balai polis pada awal bulan ini.

Jurucakap AA di luar Myanmar memberitahu Reuters bahawa mereka menyerang anggota keselamatan sebagai tindak balas terhadap serangan tentera di utara Rakhine yang disasarkan kepada penduduk awam.

HERET KETUA TENTERA

Dalam perkembangan berkaitan, Yanghee Lee, Wakil Khas PBB ke Myanmar, mendesak ketua tentera Myanmar didakwa kerana melakukan genosid atau pembunuhan beramai-ramai.

Menurutnya, ini bagi memastikan proses membawa pulang pelarian Rohingya berjalan de­ngan baik.

“Min Aung Hlaing dan yang lainnya perlu diheret ke muka pengadilan kerana dakwaan genosid di Rakhine dan jenayah kemanusiaan lain di Myanmar.

“Ini perlu dilakukan terlebih dahulu sebelum pelarian terbabit pulang. Kalau tidak, pusi­ngan ganas genosid akan berte­rusan,” katanya. – reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×