KUALA LUMPUR 25 Jan. – Melantik antara enam hingga lapan jurulatih baharu dan menyertai Piala Presiden serta Piala Belia anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) merupakan antara langkah awal penstrukturan semula Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang akan bermula, bulan depan.
Tanpa meletakkan sebarang sasaran seperti layak ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun yang gagal dicapai sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Teknikalnya, Datuk Seri Subahan Kamal mahu mengenal pasti orang yang tepat dalam membimbing pemain-pemain remaja terlebih dulu.
“Ada 14 calon jurulatih PPBN dan Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) yang disenarai pendek daripada 83 permohonan dalam kalangan orang tempatan dan luar negara dan mungkin hanya enam atau lapan yang akan dilantik di bawah struktur baharu kejurulatihan.
“Sasaran ini biarlah yang pakar dalam teknikal seperti Lim Teong Kim (Pengarah AMD), Peter De Roo (Pengarah Teknikal FAM) dan Pengarah Teknikal PPBN, Saad Ichalalene bincangkan sesama mereka dan cari masa yang tepat untuk buat pengumuman,” kata Subahan selepas mesyuarat jawatankuasa itu di sini, hari ini.
Tegasnya, sasaran berkenaan juga wajar diperhalusi dua lagi pihak iaitu Jawatankuasa Kerja dan Pemandu yang masing-masing dipengerusikan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
PPBN yang diasaskan pada 2014, gagal mencapai sasaran awal yang ditetapkan iaitu layak ke Piala Dunia B17 di Peru, tahun ini apabila terkandas pada peringkat Kumpulan A Kejohanan Bawah 16 AFC di Bukit Jalil, September lalu setelah tewas kepada Thailand 2-4 dan Jepun 0-2.
Jelas Subahan, pihaknya juga berharap FAM dapat menimbangkan hasrat pasukan bawah 16 dan 14 tahun PPBN serta AMD menyertai Piala Presiden dan Belia walaupun kedua-dua kejohanan kebangsaan peringkat umur kebangsaan itu lebih terbuka kepada kumpulan umur bawah 21 dan 19 tahun.










