Minta pelepasan pemain bukan isu besar - Kim Swee - Utusan Malaysia

Minta pelepasan pemain bukan isu besar – Kim Swee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Jan. – Jurulatih skuad Bawah 22 Tahun negara, Datuk Ong Kim Swee tidak fikir beliau akan menghadapi masalah mendapatkan pelepasan pemain-pemain yang dikehendakinya daripada pasukan Liga Malaysia bagi menghadapi Kejohanan AFF, bulan depan dan Kelayakan Bawah 23 AFC, Mac ini.

ONG KIM SWEE

Katanya, satu formula atau situasi menang-menang perlu dicari dalam isu berkenaan yang kerap kali dihadapinya apabila tiba panggilan menyertai kem latihan pusat walaupun setiap jurulatih pasukan di seluruh dunia, diakui pasti mahu memiliki pemain terbaik.

“Saya sudah hadapi banyak kali (tetapi) tidak fikir isunya besar. (Setiap pasukan) perlu faham dan berkompromi. Jika anda tengok Australia bermain (pusingan akhir) Piala Asia (di Emiriah Arab Bersatu) tetapi liganya masih berjalan.

“(Jadi) kadangkala kita perlu cari formula atau situasi menang-menang bergantung kepada siapa pemain yang saya mahukan. (Memang) semua jurulatih di dunia mahukan pemain terbaik tetapi ada masanya perlu bekerjasama untuk kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang dipengerusikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal di sini, hari ini.

Kejohanan Bawah 22 AFF akan berlangsung di Kemboja dari 17 Februari hingga 2 Mac ini dengan Malaysia akan membuka tirai Kumpulan B menentang tuan rumah pada 20 Februari diikuti Singapura (22 Februari), Indonesia (24 Februari) dan Myanmar (26 Februari).

Bagi Kelayakan Bawah 23 AFC di Malaysia dari 22 hingga 26 Mac pula, skuad Kim Swee telah diundi dalam Kumpulan J bersama China, Laos dan Filipina.

Namun, buat masa ini katanya, pemain mana yang dipanggil menyertai kem latihan pusat itu tidak penting kerana apa yang lebih utama ialah sejauh mana pendedahan yang diterima mereka ketika Piala Newspaper di Vietnam, bulan lalu, siri persahabatan di Bangkok, pertengahan bulan ini, dan Kejohanan B22 AFF nanti.

“Saya akan beri peluang dan buat penilaian lagi untuk mereka membuktikan kemampuan sebelum memikirkan senarai terbaik bagi Kelayakan AFC walaupun ada di antaranya yang memiliki pengalaman luas di peringkat antarabangsa,” katanya.

Skuad B22 negara menduduki tempat ketiga dalam saingan empat penjuru Piala Newspaper di Vietnam, namun, kalah dalam ketiga-tiga perlawanan persahabatan menentang BH Pathum United (0-2), Army United (1-3) dan Ayutthaya United (5-7) di Bangkok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×