‘Jerung besar mengejar Iran’ - Utusan Malaysia

‘Jerung besar mengejar Iran’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ABU DHABI 25 Jan. – Jurulatih Iran, Carlos Queiroz memberi amaran kepada semua pencabarnya dalam perebutan Piala Asia selepas skuad bimbingannya membelasah China 3-0 untuk ke separuh akhir bertemu Jepun.

Sementara itu, Ritsu Doan menjaringkan gol menerusi sepakan penalti bagi membantu Jepun menundukkan Vietnam 1-0 dalam satu lagi suku akhir yang berlangsung lebih awal, setelah video bantuan pengadil (VAR) digunakan buat kali pertama pada pertandingan itu berpihak kepada Blue Samurai.

Iran meneruskan pemburuan mereka menjulang Piala Asia buat kali pertama selepas kali terakhir berbuat demikian 43 tahun lalu. Tiga gol kemenangan Iran diledakkan oleh Mehdi Taremi, Sardar Azmoun dan Karim Ansarifard.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bagaimanapun, Queiroz berkata, pasukannya tidak boleh dilabel sebagai pilihan, walaupun, menyingkirkan skuad kendalian Marcello Lippi.

“Sekarang kami tahu jerung besar sedang mengejar. Pasukan pilihan tidak sesuai untuk kami. Jepun dan Korea Selatan semakin menghampiri, jadi, kami kena lebih berhati-hati, apa yang kami lakukan menentang China masih belum mencukupi,” kata bekas jurulatih Real Madrid itu.

Iran tidak menunggu lama untuk menembusi gawang lawan setelah Taremi membuka tirai jaringan pada minit ke-18, apabila bijak memanfaatkan kesilapan pertahanan China.

Benteng pertahanan China yang dikemudi, Liu Yiming sekali lagi membuka ruang kepada Iran untuk menambah jaringan dan kali ini giliran Azmoun menewaskan penjaga gol, Yan Junling, sebelum Ansarifard memastikan kemenangan mutlak Iran pada minit terakhir permainan.

Dalam pada itu, Jepun yang kali terakhir menjulang Piala Asia pada 2011, kelihatan bergelut dengan prestasi pada pertandingan tersebut. Namun, terdapat jurang kualiti antara Blue Samurai dan Vietnam di Dubai. Doan menyempurnakan penalti pada minit ke-57 selepas keputusan menerusi teknologi VAR.

“Tidak kisah bagaimana anda menang, apa yang penting kami meneruskan kemaraan. Kami sedar Vietnam adalah lawan yang degil, tetapi para pemain kekal fokus dan kami berjaya mara,” kata jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×