Tolong dengar rintihan rakyat - Utusan Malaysia

Tolong dengar rintihan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKHIR-AKHIR ini, pelbagai rintihan masyarakat bawahan atau golongan marhaen kedengaran di sana sini. Ia berpunca daripada kenaikan kos sara hidup yang agak menekan golongan ini daripada berbelanja seperti biasa. Bawa lima puluh ringgit ke pasar untuk beli keperluan dapur, tidak ada apa sangat yang boleh dibeli. Jinjit sebelah tangan sahaja.

Golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana amat merasai kenaikan kos sara hidup. Bagi yang mengusahakan tanaman jangka panjang dan jangka pendek di negara kita, kejatuhan harga mendadak sesetengah komoditi di pasaran dalam negara dan antarabangsa menyebabkan golongan ini tertekan kerana harga barang keperluan harian tetap sama. Turunnya tidak banyak tetapi kenaikannya agak tinggi.

Bagi petani, harga padi yang mereka jual sudah lama tidak dinaikkan, tetapi harga nasi di kebanyakan restoran tidak kira di mana pun sudah dinaikkan daripada RM1 sepinggan menjadi RM1.50. Kebanyakan restoran sudah mengenakan harga secawan teh atau segelas teh ais antara RM1.50 hingga RM2.20 sedangkan harga gula dan susu masih bertahan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tegasnya, masyarakat bawahan terus tertekan kerana sedikit hasil yang mereka peroleh itu sebenarnya dikaut oleh golongan lain termasuk peniaga.

Risiko dalam pertanian menjadikan golongan muda tidak begitu yakin dalam bidang ini sebagai pilihan untuk menjadikannya kerjaya. Pesawah padi diancam banjir, serangan penyakit, padi angin dan sebagainya yang menjadikan hasil diperoleh tidak seberapa.

Hasil bagi penoreh getah dan pekebun kelapa sawit mengalami kemerosotan sehingga ada yang makan nasi dengan kicap. Ada yang beli sepasang kasut sahaja bagi anak-anak ke sekolah baru-baru ini kerana tidak cukup belanja akibat kejatuhan harga kelapa sawit dan getah.

Pada masa sama, kawasan tanaman padi semakin berkurangan kesan daripada pembinaan taman perumahan dan sebagainya. Kita sudah tentunya terpaksa mencari jalan agar dapat menambah hasil pengeluaran padi tempatan dengan melakukan pelbagai kaedah.

Usaha untuk meningkatkan hasil padi negara tentunya bermula daripada komitmen petani dan kerajaan. Di atas kertas, kita memang mudah menyaran petani menggunakan kaedah moden, menjaga tanaman dengan rapi menerusi penggunaan baja, racun, dan benih berkualiti. Tetapi soalnya bukan sedikit modal yang terpaksa dikeluarkan oleh mereka untuk menjaga tanaman tersebut sehingga ada yang berkata, mengusahakan padi hasilnya tidak seberapa.

Pokoknya, golongan bawahan ini terus tersepit sehingga ada yang mencadangkan agar mereka melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan.

Di negara kita, dengan kenaikan kos sara hidup yang tidak menentu, bukan hanya golongan bawahan yang perlu kita suruh melakukan banyak kerja, kakitangan kerajaan dan swasta pun kena buat. Jika tidak, hendak menyimpan wang pun susah.

Oleh demikian, rintihan golongan bawahan mesti didengar dan diambil perhatian oleh pihak berwajib. Ini kerana mereka juga memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan negara. Hasil titik peluh golongan ini sampai ke mana-mana.

Tidak kira nasi apa pun yang dihidangkan di restoran-restoran besar mahupun hotel-hotel ternama di negara kita, ia bermula dengan hasil titik peluh petani.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×