Singapura terima cadangan balas Malaysia berhubung RA dan ILS - Utusan Malaysia

Singapura terima cadangan balas Malaysia berhubung RA dan ILS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA 25 Jan. – Singapura telah menerima cadangan balas Malaysia bagi perlanjutan tempoh penggantungan bersama pelaksanaan tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) di Seletar dan pewujudan Kawasan Larangan Kekal (RA) di Pasir Gudang sehingga akhir Mac dan bukan akhir Mei seperti asalnya dicadangkan oleh republik itu.

Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan berkata menerusi catatannya dalam Facebook pada Jumaat bahawa “ia memang idea yang baik untuk menggerakkan para pegawai kita untuk segera mengambil langkah susulan mengenai apa yang dipersetujui oleh kedua-dua menteri berhubung perkara itu.”

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke Siew Fook berkata, Malaysia telah mengemukakan cadangan balas kepada Singapura untuk memendekkan tempoh penggantungan kawasan larangan dan tatacara baharu di Lapangan Terbang Seletar.

Anthony dilaporkan berkata bahawa Khaw pada 23 Januari telah mencadangkan tempoh penggantungan itu dilanjutkan semasa mengadakan pertemuan dengan beliau di sini.

Justeru, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menyelaraskan dan menerbitkan notis baharu kepada Juruterbang (NOTAMs) serentak pada pukul 6 petang hari ini, bagi melaksanakan keputusan itu, menurut catatan Khaw.

“Saya gembira melihat kedua pengawal selia itu bekerja bersama demi keselamatan dan kecekapan penerbangan awam di ruang udara kita yang sesak,” tulisnya lagi.

Pada 8 Januari, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk kedua-dua pihak segera dan secara serentak menggantung RA di ruang udara Pasir Gudang dan pelaksanaan tatacara ILS di Lapangan Terbang Seletar untuk tempoh satu bulan.

Kedua-dua menteri akan bertemu lagi, selepas Tahun Baharu Cina (pada 5 Februari) untuk meneruskan perbincangan berhubung ruang udara. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×