TEMERLOH – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah menyeru kerjasama semua pihak untuk sama-sama memajukan negara.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda juga sedia mendengar nasihat daripada pelbagai pihak supaya dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberikan dengan sebaik mungkin.
“Majlis Raja-Raja telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun. Insya-Allah, saya akan menunaikan tanggungjawab yang telah diberikan kepada saya.
“Sudah tentu saya juga amat memerlukan kerjasama, nasihat dan panduan supaya kita sama-sama dapat menunaikan tanggungjawab yang diberikan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui media pada Majlis Santapan Jamuan Kesyukuran Sempena Memuliakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah di Masjid Baru Temerloh di sini hari ini.
Dalam majlis tersebut, baginda turut menyertai bacaan tahlil dan doa selamat serta menunaikan solat sunat hajat bersama rakyat Pahang bagi memohon petunjuk dan keberkatan Allah dalam urusan pemerintahan negara.
Sejurus bacaan tahlil dan doa selamat, baginda menyerahkan sumbangan kepada golongan memerlukan di pekarangan masjid tersebut.
“Mudah-mudahan, kita mendapat rahmat daripada Allah dan seterusnya memajukan negara,” ujar baginda sebelum meneruskan kelaziman baginda beramah mesra bersama rakyat. – K! ONLINE
View this post on InstagramA post shared by Kosmo! Online | Akaun Rasmi (@kosmo_online) on











