Kerajaan negeri BN tiada keupayaan bangunkan Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri BN tiada keupayaan bangunkan Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS 25 Jan. – Pengundi diminta agar memilih calon Pakatan Harapan (PH), M. Manogaran dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands esok untuk memastikan pembangunan dapat dibawa oleh kerajaan Pusat di sini.

Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) Pahang tidak berupaya membawa pembangunan kepada rakyat kerana hanya mempunyai kuasa yang sedikit.

Kata beliau, pihak yang berkuasa ialah kerajaan Pusat kerana mempunyai kewangan untuk melaksanakan pelbagai pembangunan untuk rakyat dan memajukan negara.

“BN sudah tiada, UMNO sudah tiada, jadi apa guna nak pangkah mereka. Memang kerajaan negeri Pahang BN tapi duduk bawahlah, tak boleh buat apa pun, kuasa ada pada kerajaan Pusat, jadi jangan kerana kononnya mereka masih menjadi kerajaan negeri mereka boleh buat itu dan ini.

“Yang boleh buat ialah yang ada duit iaitu kerajaan Pusat. Bukanlah saya janji apa-apa cuma kami ada kuasa, mereka (BN) kuasa ada sikit saja dan tak boleh buat apa-apa pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program perjumpaan bersama warga Sungai Koyan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dekat sini hari ini.

Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata, pengundi juga tidak seharusnya memilih calon daripada parti yang terkenal kerana mencuri wang rakyat.

Beliau berkata, jumlah yang dicuri bukan sedikit tapi sehingga berbilion ringgit menyebabkan hutang negara mencecah RM1 trilion.

“Itulah hutang yang ditinggalkan oleh Najib. Kerajaan terpaksa bayar faedah bagi satu pinjaman sahaja mencecah RM400 juta iaitu wang yang sepatutnya kita boleh guna untuk pembangunan negara tapi kerana Najib pinjam bukan untuk berniaga tapi nak masuk dalam poket,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×