KUALA LUMPUR – Parti Tindakan Demokratik (DAP) merafak sembah tahniah atas pemilihan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, pelantikan Sultan Abdullah sebagai Ketua Negara yang baharu membuktikan Malaysia adalah sebuah negara berdaulat serta mematuhi undang-undang dan menghormati adat resam yang diamalkan masyarakat sejak sekian lama.
“DAP juga menjunjung kasih merafakkan setinggi-tinggi sembah tahniah di atas pengisytiharan Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama.
“Ia juga mencerminkan kematangan amalan demokrasi di Malaysia yang menjadi asas kestabilan dan kesatuan untuk seluruh rakyat Malaysia dan punca kekuatan kita dalam membangunkan negara secara bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, pelantikan Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin berjalan lancar menurut lunas undang-undang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dan sistem raja berpelembagaan. – Bernama










