TEMERLOH 25 Jan. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bersyukur ke hadrat Allah SWT atas anugerah dan amanah diberikan kepada baginda untuk menjawat jawatan Yang di-Pertuan Agong Ke-16 berkuat kuasa 31 Januari ini.
Sultan Abdullah juga menjunjung kasih kepada Majlis Raja-Raja yang memberikan kepercayaan kepada baginda.
“Insya-Allah saya akan mencuba sedaya upaya untuk melunaskan tanggungjawab sebagai Yang di-Pertuan Agong.
“Sudah saya juga begitu memerlukan kerjasama, nasihat dan panduan supaya kita bersama-sama dapat melaksanakan tugas yang penting ini dengan sebaik mungkin,” titah baginda kepada pemberita selepas berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Baru Temerloh di sini hari ini.
Selepas selesai solat Jumaat, turut diadakan solat hajat, tahlil dan doa selamat serta majlis santapan kesyukuran sempena memuliakan baginda di masjid sama.
Berkenan berangkat Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Selepas mesyuarat khas Majlis Raja-Raja di Istana Negara semalam, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad dalam kenyataannya berkata, Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari ini.
Syed Danial berkata, baginda menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016. – UTUSAN ONLINE










