AFF 2019 Kemboja pentas terakhir skuad B-23 bukti keupayaan - Utusan Malaysia

AFF 2019 Kemboja pentas terakhir skuad B-23 bukti keupayaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kejuaraan B-22 AFF 2019 di Kemboja menjadi pentas terakhir buat anak didik ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee membuktikan keupayaan mereka sebelum dipilih mewakili negara ke Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020.

Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen bertemu tuan rumah, Kemboja pada 18 Februari, diikuti Indonesia (20 Feb) dan Myanmar (22 Feb) di Stadium Nasional, Phnom Penh.

Ketika ditemui media selepas sesi temuduga calon ketua jurulatih remaja negeri di Majlis Sukan Negara (MSN) hari ini, Kim Swee berkata, pemilihan pemain bakal beraksi di Kemboja itu adalah melalui Kejohanan B-21 Piala Newspaper di Vietnam pada Disember tahun lepas dan siri persahabatan di Bangkok, baru-baru ini. 

“Bagi pasukan B-23, saya akan memberi pendedahan sewajarnya terutama kepada pemain telah saya pilih daripada kejohanan di Vietnam dan siri persahabatan di Bangkok. Pemain ini saya akan beri mereka peluang membuktikan keupayaan mereka sebelum saya memikirkan senarai terbaik untuk kelayakan AFC. 

“Kemungkinan besar skuad AFF dan AFC akan ada perbezaan ketara namun seperti saya katakan saya masih lagi menilai beberapa pemain untuk diberi peluang sekali lagi atau pun saya akan mencari pemain baharu,” katanya. 

Malaysia yang akan menjadi tuan rumah perlawanan Kumpulan J untuk Kelayakan Kejuaraan B-23 AFC 2020 pada 22 hingga 26 Mac depan, diundi bersama pasukan China, Laos dan Filipina. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×