MARANG 25 Jan. – Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang kononnya Presiden Pas itu penah mempunyai hasrat untuk menjadi perdana menteri.
Sambil menangkis dakwaan itu Abdul Hadi menyifatkan kenyataan seumpama itu memperlihatkan pemimpin DAP itu sudah ketandusan modal dalam berpolitik, malah ia sengaja dicipta dan direkanya sendiri untuk meraih sokongan rakyat semata.
Tegas Ahli Parlimen Marang itu, perjuangan sebenar beliau bersama Pas bukan untuk menjadi perdana menteri sebagaimana didakwa sebaliknya merupakan satu perjuangan untuk menyelamatkan negara dengan Islam sebagai keutamaan.
“Orang lain dah jawab kerana mereka tahu perbualan saya (semasa perundingan antara parti dalam pakatan rakyat dahulu). Ustaz Idris (Mursyidul Am Pas, Idris Hashim) ada buat kenyataan. (Begitu juga) Cikgu Pa (bekas Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali).
“Cikgu Pa tahu segala perundingan dan jelas bahawa dia (Lim Kit Siang) tak ada modal. Dia buat modal yang dicipta dan direkanya.
“Bukan perjuangan kita nak jadi perdana menteri, perjuangan kita adalah nak selamatkan negara dengan Islam,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya sejurus selepas mengadakan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.
Beliau menyatakan perkara itu ketika diminta kenyataan penasihat DAP itu di dalam blognya apabila mendakwa Abdul Hadi pernah melobi untuk menjadi Perdana Menteri sewaktu Pas dalam Pakatan Rakyat dahulu.
Tindakan Kit Siang itu telah mengundang reaksi para pemimpin Pas termasuk Idris serta Mustafa yang menolak tanggapan itu sambil menyifatkan pemimpin DAP terbabit ternyata berbohong.
Mustafa atau dikenali sebagai Cikgu Pa yang merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Pas melahirkan rasa hairan bagaimana Kit Siang masih berterusan melakukan pembohongan sedangkan Abdul Hadi tidak pernah berhasrat menjadi perdana menteri sewaktu Pas dalam pakatan rakyat dahulu. – UTUSAN ONLINE











