KUALA LUMPUR 25 Jan. – Harga runcit petrol RON95 dan RON97 dikekalkan pada harga masing-masing RM1.98 serta RM2.28 seliter berkuat kuasa esok sehingga 1 Februari depan.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata, bagaimanapun harga runcit diesel dinaikkan sebanyak satu sen seliter iaitu daripada RM2.17 seliter kepada RM2.18 seliter.
“Sepertimana yang telah dijanjikan, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi produk petrol RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga tersebut,” katanya di sini hari ini.
Berita berkaitan:
Kata kenyataan lagi, harga itu berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism (APM) bagi tempoh 26 Januari sehingga 1 Februari ini.
“Harga produk petroleum yang diproses (refined product) di pasaran dunia bagi diesel pada ketika ini berada pada paras AS$73 (RM301.52) setong berbanding petrol RON95 iaitu pada paras AS$62 (RM256.13) setong.
“Perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol adalah disebabkan peningkatan permintaan bagi produk itu terutamanya dari China dan juga peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global,” katanya.
Menurut kenyataan sama lagi, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga tersebut.
Katanya, kaedah itu seperti mana telah dijanjikan kerajaan pada sebelum ini. – UTUSAN ONLINE











