KLANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 300 tong berisi gas petroleum cecair (LPG) bernilai RM37,425.80 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Jalan Sungai Chandong 18, Bandar Armada Putra, Pelabuhan Klang di sini semalam.
Serbuan oleh 15 orang anggota dan pegawai daripada KPDNHEP Selangor itu bermula kira-kira pukul 11.30 malam.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, serbuan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat awam dan hasil risikan sejak beberapa minggu yang lalu.
Beliau berkata, pihaknya terpaksa memecahkan kunci pintu utama premis dua tingkat berkenaan selepas tiada maklum balas daripada penghuni selepas 15 minit mengetuk pintu.
“Hasil pemeriksaan di tingkat bawah telah menemui 300 tong LPG pelbagai saiz dan jenama disyaki tanpa lesen.
“Siasatan lanjut mendapati, bahagian atas premis dijadikan tempat tinggal pekerja berdasarkan terdapat peralatan rumah dengan anggaran pekerja lebih kurang lima orang dan disyaki warga Myammar berdasar beberapa dokumen yang dijumpai,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azman berkata, kesemua rampasan itu diklafikasikan sebagai Rampasan Tanpa Tuan (RTT) dan semua baranngan yang disita kemudiannya dibawa ke stor KPDNHEP Selangor untuk tindakan lanjut.
Menurut Azman, kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu memiliki barang kawalan LPG dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan dan dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu manakala bagi pertubuhan atau perbadanan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta. -K! ONLINE










