SHAH ALAM 25 Jan. – Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) tidak menolak kemungkinan jualan motosikal kapcai meningkat berikutan kenaikan kos sara hidup dalam kalangan rakyat di negara ini.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda berkata, situasi semasa sedemikian menjadi faktor pengguna akan memilih motosikal mampu milik sebagai pengangkutan harian.
Walau bagaimanapun jelasnya, trend tersebut tidak bermakna segmen motosikal berkuasa lebih tinggi tidak menunjukkan petanda positif.

“Pemantauan kami mendapati trend pengguna di negara ini beralih (upgrade) daripada motosikal berkuasa rendah kepada yang lebih tinggi.
“Justeru, kami kini memberi fokus kepada motosikal berkuasa 150 cc dan ke atas pada tahun ini. Pada masa sama kami terus mahu mengekalkan prestasi baik jualan segmen motosikal mampu milik,” katanya.
Beliau ditemui dalam majlis pengumuman lima strategi utama Boon Siew Honda bagi tahun ini di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah pengurusan tertinggi Boon Siew Honda iaitu Pengerusinya, Datuk Seri Tan Hui Jing; Ketua Pegawai Jualan, Voon Yin Kong; Ketua Pegawai Pemasaran dan Perancangan, Yoshitaka Nakamura serta Ketua Pegawai Pentadbiran, Jeremy Loo.
Terdahulu dalam ucapannya, Keiichi menjelaskan, tahun lalu, jualan Boon Siew Honda meningkat sebanyak 28.7 peratus berbanding 121,000 unit berjaya dijual pada 2017.
“Boon Siew Honda merekodkan prestasi jualan cemerlang di mana kira-kira 156,000 unit dijual pada 2018,” ujarnya.
Dalam majlis itu juga, beliau memperkenalkan tiga model baharu iaitu Super Cub C125, CBR1000RR Fireblade SP dan CB1100 RS.
Super Cub C125 dijual pada harga RM13,999 manakala CB1100 RS (RM75,999) dan CBR1000RR Fireblade SP (RM114,999).
Ketiga-tiga model berkenaan bakal berada dalam pasaran tempatan pada minggu depan. – UTUSAN ONLINE











