LONDON – Pemain baharu Chelsea, Gonzalo Higuain me ngakui sangat gembira apabila kembali bekerjasama dengan bekas pengurusnya di Napoli, Maurizio Sarri.
Higuain menandatangani kontrak pinjaman bersama The Blues untuk tempoh enam bulan selepas memendekkan tempoh pinjamannya di AC Milan.
Chelsea juga berpeluang melanjutkan kontrak pinjaman pemain Juventus itu untuk semusim lagi selain diberi peluang untuk mendapatkan pemain itu secara tetap dengan nilai £31.35 juta (RM169.53 juta).
Higuain menemui prestasi terbaik ketika bersama Sarri di Napoli apabila meledak 36 gol sepanjang musim 2015/2016 sebelum berhijrah ke Juventus.
“Ia satu peluang yang baik apabila dapat kembali bersama Sarri. Saya sangat teruja untuk berada di sini kerana dapat bersama kelab yang memiliki sejarah yang hebat.
“Saya sangat gembira dan berharap mampu menunaikan sasaran yang diletakkan untuk kelab ini.
“Saya ialah seorang yang sentiasa mahu memajukan diri. Perkara yang paling utama adalah merendah diri kerana apabila saya melakukan kesalahan, saya akan segera untuk memperbaikinya.
“Orang di luar sana boleh membuat penilaian terhadap diri saya kerana saya bukanlah orang yang suka bercakap mengenai diri sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Higuain percaya hanya Sarri mampu menjadikannya pemain yang lebih baik kerana dia pernah mengecapi puncak prestasi bersama jurulatih dari Itali itu sebelum ini. – Agensi










