GENTING HIGHLANDS – Kelab Badminton (KB) Petaling melayakkan diri ke pentas separuh akhir Purple League (SSPL) selepas menewaskan KB Tebrau City 11-6 pada aksi suku akhir di Arena of Stars sebentar tadi.
Bagaimanapun, Petaling perlu berdepan halangan sukar untuk ke pentas final apabila perlu membuat perhitungan dengan juara bertahan, KB Puchong United esok.
Pada perlawanan tersebut, pemain perseorangan lelaki Petaling, Jan O’ Jorgensen memastikan mereka bermula langkah kanan apabila menang 3-1 (9-11, 11-6, 11-5, 11-6) ke atas Adulrach Namkul.
Kemudian, Petaling terus mengukuhkan kedudukan menerusi perseorangan wanita, Yip Pui Yin yang menewaskan Xu Wei 3-1 (11-10, 11-8, 6-11, 11-4) pada perlawanan kedua.
Tebrau City cuba merapatkan kedudukan menerusi beregu lelaki, Peeranat Boontun-Boonsak Ponsana yang menewaskan Man Wei Chong-Shia Chun Kang 11-9, 10-11, 11-9, 6-11, 11-10.
Chen Tang Jie-Peck Yen Wei menjadi wira Petaling apabila memastikan kemenangan mutlak apabila menewaskan Tan Jinn Hwa-Pearly Tan 11-7, 11-7, 5-11, 11-6 menerusi acara beregu campuran. – K! ONLINE










