Sultan Pahang dipilih Yang di-Pertuan Agong - Utusan Malaysia

Sultan Pahang dipilih Yang di-Pertuan Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Pemilihan Seri Paduka dibuat dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 berkuat kuasa 6 Januari lalu selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.

Mesyuarat tersebut turut memilih Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan ­Agong bagi tempoh sama, menu­rut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, yang dipengerusikan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dihadiri oleh kesemua Sultan dan Raja-Raja Melayu kecuali Kelantan.

Kenyataan itu menyebut menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

“YAB Perdana Menteri juga telah dimaklumkan,” kata Syed Danial.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada 7 Januari berkata, Majlis Raja-Raja memutuskan istiadat mela­faz sumpah jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong baharu dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong ditetapkan pada 31 Januari ini. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×