CARACAS 24 Jan. – Sekurang-kurangnya 13 terbunuh dalam tempoh dua hari tunjuk perasaan besar-besaran diadakan di seluruh Venezuela sehingga menyaksikan pemimpin pembangkang, Juan Guaido ‘mengisytiharkan’ dirinya sebagai Presiden sementara.
Tindakan Guaido mendapat sokongan negara-negara Amerika Latin dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut pihak berkuasa, kebanyakan mangsa maut akibat terkena peluru hidup, selain beberapa kes rompakan dilaporkan berlaku di Bolivar yang bersempadan dengan Brazil.
Tunjuk perasaan di sekitar ibu kota dan beberapa bahagian di seluruh Venezuela bermula selepas satu video tular menunjukkan 27 anggota tentera yang berpaling tadah terhadap Presiden Nicolas Maduro menyeru orang ramai turun mengadakan demonstrasi.
Selain Caracas, kematian penunjuk perasaan dilaporkan berlaku di Tachira, Barinas, Portuguesa, Amazonas dan Bolivar.
Di bandar San Felix, penunjuk perasaan merobohkan patung bekas Presiden Hugo Chavez manakala ratusan yang lain menghalang laluan sehingga menyebabkan pasukan tentera bertindak melepaskan gas pemedih mata.
MADURO GAGAL BANGUNKAN VENEZUELA
Presiden AS, Donald Trump secara rasminya mengiktiraf Guaido sebagai Presiden baharu menggantikan Maduro yang didakwa gagal membangunkan Venezuela sehingga menyebabkan krisis ekonomi berlaku.
Trump memuji rancangan Guaido untuk mengadakan pilihan raya tidak lama lagi.
Dalam satu perhimpunan besar-besaran di Caracas, Guaido, 35, menuduh Maduro menyalahgunakan kuasa dan beliau berjanji untuk membawa negara ini keluar daripada krisis ekonomi.
Pengisytiharan yang dibuat Guaido secara tidak langsung menjadikan Venezuela ketika ini sebagai negara ‘terbiar’, menyaksikan pembangkang mentadbir buat sementara waktu namun tidak boleh mengawal fungsi negara.
PEMBANGKANG CUBA RAMPAS KUASA?
Sebagai tindak balas, Maduro menuduh pembangkang cuba melakukan rampasan kuasa dengan sokongan AS.
“Kami tidak mahu sebarang pencerobohan lagi. Kita mempunyai maruah dan semua orang di negara ini sanggup mempertahankan tanah air daripada diceroboh pihak luar,” tegasnya.
TENTERA TIDAK IKTIRAF
Sebarang perubahan kerajaan turut memberi kesan kepada sistem pentadbiran ketenteraan, namun pasukan tentera negara ini dilihat terus ‘setia’ dengan Maduro biarpun beberapa siri tunjuk perasaan dilakukan oleh rakyat.
Menteri Pertahanan, Vladimir Padrino menegaskan, pasukan tentera tidak mengiktiraf mana-mana pihak yang mengisytiharkan mereka sebagai Presiden kerana di luar konteks undang-undang.
PERJUANGAN GUAIDO
Menurut laporan al-Jazeera, Guaido bangkit untuk menyelesaikan krisis politik dan ekonomi yang semakin mencengkam negara ini.
Seorang jurutera perindustrian, Guaido dipilih ke Parlimen pada 2015.
Semasa di Kongres, Guaido memperoleh reputasi sebagai seorang yang kuat bekerja dan pembina konsensus ketika berkhidmat sebagai Ketua Suruhanjaya Pengawasan yang menyelidiki tuduhan korupsi pemerintah.
Guaido dalam temu bual baru-baru ini menyatakan tidak takut untuk berjuang dan ‘diperlakukan’ seperti nasib yang menimpa sekutu politiknya sambil menunjukkan parut di lehernya selepas terkena peluru getah semasa demonstrasi jalanan 2017 menentang Maduro.
Bagaimanapun, pengkritik mengatakan Guaido tidak mempunyai visi politik, merujuk kepada ucapannya sebagai perwakilan Presiden, yang penuh dengan retorik tetapi tidak spesifik bagaimana untuk keluar daripada krisis negara. – AFP/REUTERS/AGENSI










