SINGAPURA 24 Jan. – Pertelingkahan keluarga mendiang Lee Kuan Yew berhubung pertikaian rumah peninggalan bekas Perdana Menteri Singapura itu kini memasuki ‘episod baharu’.
Ini selepas adik bongsu Lee Hsien Loong iaitu Lee Hsien Yang mengumumkan sokongan terhadap bekas calon Presiden Singapura, Tan Cheng Bock yang baru-baru ini menubuhkan parti baharu dikenali sebagai Progress Singapore Party.
Secara terbuka, Hsien Yang menyifatkan Cheng Bock sebagai ‘pemimpin yang paling layak untuk Singapura’, sekali gus kenyataan itu ‘membelakangkan’ Hsien Loong sebagai Perdana Menteri dan abangnya menjelang pilihan raya umum 2021.
Sokongan Hsien Yang terhadap Cheng Bock yang juga bekas anggota parti pemerintah Singapura, Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan ahli Parlimen dari 1980 hingga 2006 itu juga bagaikan ‘menambah parah’ terhadap ‘krisis keluarga’ yang dilalui anak-anak Kuan Yew ketika ini.
PAP pimpinan Hsien Loong yang memerintah republik itu sejak merdeka lebih setengah abad lalu, tidak pernah jatuh di bawah 60 peratus undian, kini memegang 89 daripada 95 kerusi di Parlimen.
Minggu lalu, dalam usahanya untuk melonjakkan pembangkang, Cheng Bock berkata, pihaknya telah memfailkan permohonan dengan Pendaftar Pertubuhan untuk mendaftar parti politik baharu tersebut.
“Cheng Bock akan ‘mempersiapkan’ Parlimen yang bakal berkhidmat untuk negara dan rakyat sebelum parti dan diri.
“Ini adalah masa depan yang baik untuk Singapura,” jelas Hsien Yang melalui Facebook.
Sementara itu, Hsien Yang tidak memberikan ulasan lanjut mengenai kenyataannya di Facebook ketika dihubungi Reuters manakala Pejabat Perdana Menteri enggan mengeluarkan sebarang kenyataan. – REUTERS










