Rahmat Lim & Partners sahkan kehadiran polis - Utusan Malaysia

Rahmat Lim & Partners sahkan kehadiran polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Firma guaman, Rahmat Lim & Partners mengesahkan polis telah datang ke pejabat mereka dan meminta dokumen berkaitan dua terbitan bon.

Rahmat Lim & Partners dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dan akan tetap komited untuk bekerjasama dengan mereka dalam batasan perundangan.

“Kami sebelum ini bertindak dalam peranan terhad sebagai peguam undang-undang Malaysia untuk Goldman Sachs dalam terbitan bon tersebut. Bagaimanapun, kami dilarang oleh undang-undang membekalkan lain-lain dokumen yang dikehendaki.

“Kami juga atas permintaan pihak polis sebelum ini memberi mereka semua dokumen yang tidak tertakluk kepada keistimewaan peguam dan pelanggan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Polis hari ini menyerbu pejabat firma guaman Rahmat Lim & Partners berhubung siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) dilihat memasuki pejabat itu pada 10 pagi dan masih berada di pejabat berkenaan sehingga pukul 5 petang.

Dilaporkan firma guaman itu mewakili bank pelaburan Goldman Sachs dalam menerbitkan bon bernilai AS$6.5 bilion (RM26. 9 bilion) antara 2012 dan 2013.

Bank berkenaan didakwa mempunyai maklumat tersembunyi di mana 1MDB menaja jamin semua jumlah berkaitan kos, perbelanjaan dan kerugian yang dialami International Petroleum Investment Company (Ipic) dalam satu perjanjian bertarikh 21 Mei 2012. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×