BANGKOK 24 Jan. – Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal bersama bagi membincangkan dengan lebih terperinci cadangan pembinaan Jambatan Persahabatan antara Malaysia dan Thailand akan diadakan di Kuala Lumpur pada Mac ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke Thailand berkata kedua-dua negara bersetuju untuk mempercepatkan proses pembinaan jambatan yang akan menghubungkan Kelantan dengan Narathiwat; iaitu Jambatan Tak Bai-Pengkalan Kubor dan Sungai Golok-Rantau Panjang.
Menurut Dr Wan Azizah, kedua-dua negara juga komited dalam merealisasikan pembinaan Jambatan Persahabatan dan menjangkakan majlis pecah tanah untuk pembinaan kedua-dua jambatan dapat dilakukan perdana menteri kedua-dua negara pada tahun ini.
Katanya isu pembinaan Jambatan Persahabatan dibangkitkan oleh Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha semasa beliau mengadakan kunjungan hormat ke atas perdana menteri itu di Government House, petang ini.
“Saya fikir reka bentuk ada disentuh dalam perbincangan, dan akan disusuli dengan aspek teknikal. Saya berpendapat jawatankuasa teknikal tertinggi di kedua-dua pihak akan berbincang bagaimana untuk melaksanakannya. Saya tidak dimaklumkan tentang tempoh masa, ia akan mengambil masa yang agak lama. Pihak Thai juga ada beberapa isu yang perlu kita tangani,” katanya pada sidang media bersama media Malaysia di sini, hari ini. – BERNAMA










