Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 hadiah buat warga sukan - Utusan Malaysia

Pemilihan Yang di-Pertuan Agong ke-16 hadiah buat warga sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Pemilihan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 adalah satu catatan sejarah bermakna buat arena sukan tanah air.

Ini kerana baginda dikenali sebagai raja yang cukup aktif dalam pentadbiran sukan terutamanya bola sepak dengan pernah menjadi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) daripada 2014 hingga 2017.

Baginda juga pernah menyandang jawatan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dan aktif dalam sukan polo.

Rata-rata penggiat sukan menzahirkan rasa bangga dan menyifatkan pelantikan Yang di-Pertuan Agong baharu itu adalah hadiah buat warga sukan kerana baginda merupakan seorang tokoh sukan berwibawa dan banyak berjasa kepada arena sukan negara.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menyifatkan baginda sebagai seorang raja berjiwa rakyat dan mudah didekati serta merupakan seorang tokoh sukan yang profesional dalam menjalankan tugas.

“Tahniah diucapkan atas pemilihan baginda sebagai Agong hari ini. Baginda sangat terkenal dengan keperibadian yang berfikiran terbuka, di mana baginda senang menerima pandangan dari peringkat akar umbi untuk memajukan bola sepak negara. Sifat Sultan Abdullah sama seperti ayahanda baginda (Sultan Ahmad Shah) yang berjiwa rakyat, senang berbicara tanpa mengira pangkat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sultan Abdullah hari ini dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 31 Januari 2019.

Pemilihan Seri Paduka Baginda dibuat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria menyifatkan pemilihan Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah satu kejayaan untuk warga sukan.

“Saya pernah berkhidmat sebagai Bendahari FAM dahulu ketika baginda menyandang jawatan Presiden. Baginda memainkan peranan penting dalam membawa bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi. Banyak perubahan dilakukannya terutamanya dalam penswastaan liga,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohamad Norza menjelaskan Sultan Abdullah turut disanjung tinggi beberapa pemimpin sukan dunia sehingga dipilih sebagai exco Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Presiden Persekutuan Hoki Asia (AHF).

Sultan Abdullah amat sinonim dan memang tidak dapat dipisahkan dengan sukan serta komitmen baginda dalam bidang sukan terserlah bukan hanya di dalam negara malah turut aktif di persada antarabangsa. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×