KUALA LUMPUR 24 Jan. – Sebanyak 83 peratus daripada rakyat Malaysia melihat sektor kewangan tempatan mempunyai reputasi baik meskipun pernah dilanda krisis kewangan global 10 tahun lepas dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Indeks Reputasi Perkhidmatan Kewangan Malaysia yang dikeluarkan oleh MHP Communications mendedahkan 83 peratus pengguna percaya syarikat perkhidmatan kewangan semakin dipercayai dalam tempoh sedekad lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif MHP Communications Asia Pasifik, Emma Smith berkata, meskipun berdepan cabaran pada tahun lepas susulan isu 1MDB dan perubahan kerajaan, reputasi sektor kewangan Malaysia kekal berdaya tahan.

Katanya, bank-bank tempatan dilihat menerajui kepercayaan dalam sektor kewangan negara yang terkemuka apabila pegawai bank mengatasi polis, ahli politik dan peguam dalam kepentingan amanah.
“Pengguna juga menunjukkan kesetiaan mereka kepada jenama tempatan berbanding pesaing-pesaing luar negara yang semakin kukuh bertapak di Malaysia.
“Peningkatan pendigitalan menyediakan peluang dan cabaran dalam perkhidmatan kewangan kerana pengguna menunjukkan kebimbangan tinggi terhadap keselamatan data sementara perkhidmatan digital disifatkan sebagai pemacu utama reputasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Susulan jangkaan positif itu, MHP Communications melihat syarikat kewangan dianggotai warga korporat bertanggungjawab, majikan yang baik atau menyumbang kembali kepada masyarakat menjadi lebih penting kepada pengguna.
Agensi komunikasi strategik itu membuat tinjauan terhadap lebih 5,000 orang dari Malaysia, China, Hong Kong, India dan Singapura, dengan sekurang-kurangnya 1,000 responden setiap pasaran.
Berdasarkan tinjauan MHP Communications, lima jenama bank tempatan dipercayai rakyat Malaysia adalah Maybank, CIMB, Public Bank, RHB Bank dan Hong Leong Bank.
Dalam pada itu, 59 peratus daripada responden mahu melihat produk dan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik pada masa akan datang.










