TNB beri pulangan besar kepada rakyat - Utusan Malaysia

TNB beri pulangan besar kepada rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Jan. – Dari segi sejarah dan tradisi, Tenaga Nasional Bhd (TNB) amat dekat di hati kebanyakan rakyat Malaysia kerana bagi tempoh hampir 70 tahun ‘me­nyalurkan tenaga kepada negara’, sekali gus mewarnai dan mempengaruhi kehidupan mereka.

TNB membantu menerangi rumah dan tempat kerja, menyalurkan tenaga kepada kilang dan industri, memacu kemajuan dan menawarkan pelbagai peluang dan mengagihkan kekayaan.

Pendek kata, bagi tempoh selama hampir tujuh dekad, TNB telah memperkasakan rakyat dan mentransformasi negara.

Walaupun mungkin ramai yang mengambil mudah akan peranan TNB, ia telah menjalankan tugasnya kepada negara de­ngan penuh dedikasi di samping berkongsi sebahagian kejayaan dan keuntungan dijananya dengan rakyat menerusi pelbagai program tanggungjawab sosial korporat dan dividen.

TNB telah memberi kembali kepada negara menerusi soko­ngan dan sumbangan besarnya kepada masyarakat, antara lain, pelaburan dalam pendidikan seperti penyediaan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar.

Bayaran dividen

Bayaran dividen tinggi olehnya bukan sahaja memberi manfaat kepada pelabur institusi tetapi juga rakyat biasa yang telah menyumbang menerusi caruman daripada pendapatan yang diraih menerusi kerja keras mereka kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pendeposit Tabung Haji, kebanyakannya penduduk luar bandar.

Menjejaki rekod bayaran dividen oleh TNB bagi 16 bulan ber­akhir 31 Disember 2017, syarikat itu telah membayar RM4.7 bilion kepada pemegang saham, yang merupakan antara bayaran dividen tertinggi oleh sebuah daripada syarikat senaraian utama Malaysia.

Di samping memberi manfaat secara langsung kepada pemegang saham, bayaran dividen tinggi ini turut memberi kesan berganda kepada pelabur institusi seperti KWSP, Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung Haji dan syarikat unit amanah lain yang turut me­nyalurkan pulangan tinggi kepada pemegang akaun mereka.

Bayaran dividen tinggi oleh TNB membolehkan KWSP atau dana persaraan pekerja negara ini memberi manfaat kepada hampir 14 juta pemegang akaun dan pada masa sama membantu PNB, pe­ngurus dana unit amanah terbesar negara, untuk menyalurkan pulangan tinggi kepada kira-kira 13.2 juta akaun.

KWAP, dengan kira-kira 660,000 pesara dalam senarainya dan Tabung Haji, dengan lebih sembilan juta pendeposit, turut mendapat manfaat daripada dasar dividen TNB.

Akhirnya, rakyat yang mendapat banyak faedah daripada keprihatinan TNB.

Penambahbaikan

Keupayaan untuk memperuntukkan sejumlah besar bagi bayaran dividen bukan sekadar bergantung pada kedudukannya sebagai penyedia bekalan elektrik utama Malaysia bagi tempoh hampir 70 tahun, tetapi juga menerusi kerja keras tenaga kerjanya dan pandangan jauh pengurusannya untuk memastikan kema­panan pertumbuhan kukuh TNB, dari segi operasi dan kewangan.

Beberapa tahun lepas telah menyaksikan perbadanan utiliti negara ini melakukan penambahbaikan untuk kekal dalam trajektori pertumbuhan dalam perniagaan kawal selia penyaluran dan pengagihan bekalan elektrik, yang telah menyumbang kepada aliran pendapatan stabil di bawah Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

Untuk jangka panjang, TNB tidak akan bergantung sepenuh­nya pada perniagaan kawal se­lianya untuk survival tetapi perlu mencari sumber baharu bagi pertumbuhan, baik dari segi produk mahupun pasaran.

Penganalisis daripada beberapa firma penyelidikan mengekalkan prospek positif bagi TNB disebalik langkahnya beralih kepada bidang perniagaan baharu.

“Menerusi perniagaan bukan kawal selia, kami akan terus me­nerokai bidang baharu untuk mendapatkan nilai lebih baik, yang dapat menampung syarikat untuk tahun-tahun akan datang,” kata presiden/ketua pegawai eksekutif TNB kepada para peme­gang sahamnya dalam satu daripada laporan tahunan syarikat itu sebelum ini.

Persekitaran mencabar

Di dalam negara, TNB kini beroperasi dalam persekitaran lebih mencabar, di tengah-tengah pertumbuhan jualan elektrik yang sederhana, berikutan penggunaan elektrik negara, yang sebelum ini sebanyak 1.1 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), telah semakin menyusut sejak Malaysia secara beransur-ansur beralih keluar daripada negara perindustrian sepenuhnya.

Di bawah IBR, program kerajaan untuk melakukan pembaharuan dan meliberalisasikan industri tenaga, pulangan ke atas dua perniagaan teras TNB iaitu pengagihan dan penyaluran elektrik telah dikawal selia dan skalanya terus menyusut.

TNB dibenarkan menjana 7.3 peratus pendapatan daripada asetnya yang dikawal selia dari 2018 hingga 2020, susut daripada 7.5 peratus dibenarkan bagi tempoh 2015 hingga 2017.

Untuk rekod, pelaksanaan IBR telah diamalkan di peringkat glo­bal untuk memberi insentif kepada syarikat utiliti kuasa bagi me­ningkatkan kecekapan mereka, mewujudkan kestabilan dalam industri bekalan elektrik, me­ningkatkan ketelusan dan menawarkan tarif pada harga kompetitif.

Disebalik pulangan lebih rendah yang dibenarkan daripada asetnya dan berpotensi mengalami pertumbuhan jualan lebih perlahan, TNB kekal komited dalam “menyalurkan tenaga kepada negara” dengan memperuntukkan RM18.8 bilion untuk perbelanjaan modal bagi grid penyaluran dan pengagihannya untuk 2018 hingga 2020 berbanding RM15.08 bilion bagi 2015 hingga 2017.

Pelan strategik

Dua tempoh masa ditetapkan bagi pelaksanaan IBR itu juga akan membolehkan TNB mendepani dengan jayanya pelbagai cabaran dalam industri itu.

Berdasarkan pada perubahan landskap tenaga dan trend pe­langgan baharu, TNB melaksanakan pelan strategik 10 tahun pada 2016 dikenali sebagai Reimagining TNB dalam usaha transforma­sinya menjadi satu daripada 10 utiliti terbaik dunia menjelang 2025.

Pelan TNB itu menggariskan untuk melaksanakan tranformasi kumpulan secara meluas bagi mengekalkan peranan TNB sebagai peneraju dalam pasaran rumah serta memperluas keha­dirannya di peringkat global.

Bagi menjayakan itu, TNB memperoleh pegangan ekuiti dalam entiti berkaitan kuasa di India, Turki dan United Kingdom, menjalankan perniagaan yang akan meletakkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga diperbaharui di ASEAN menerusi penawaran pelbagai produk dan perkhidmatan yang mampu memenuhi kehendak pelanggan dari segi penjanaan tenaga bersih, teknologi rumah pintar dan kecekapan tenaga.

Boleh dirumuskan bahawa dengan pelan strategik berfikiran jauh, keupayaan untuk mendepani permintaan sukar dalam regim IBR dan bayaran dividen tinggi, membuktikan kewibawaan dan kebolehan TNB sebagai utiliti kuasa yang dinamik. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×