JOHOR BAHRU 24 Jan. – Dalam usaha menggalakkan pelaburan di kawasan utara negeri ini, kerajaan negeri merancang memperkenalkan insentif baharu yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Osman Sapian berkata, insentif itu diperkenalkan bagi mengelakkan pelaburan yang diterima di Johor tidak hanya tertumpu di selatan tetapi juga ke daerah-daerah lain seperti Segamat, Kluang dan Muar.
Menurutnya, perkara tersebut sedang diperhalusi dan dirancang menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Johor yang akan ditubuhkan dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan

pandangan daripada mereka yang pakar.
“Sebagai contoh, kalau mereka buka kilang dan melabur di daerah yang kurang mendapat perhatian tadi, pengecualian cukai selama lima tahun akan kita berikan tapi kalau pelaburan hanya tertumpu di selatan, kita akan beri dua tahun.
“Selain itu, kita akan pastikan peluang pekerjaan diwujudkan untuk rakyat tempatan dan gaji juga kita mahu tidak kurang daripada RM1,500. Jadi, kalau ini dapat dipenuhi, insentif akan diguna pakai,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan ke YPJ Holdings Sdn. Bhd. di sini hari ini.
Beliau menjelaskan, usaha kerajaan negeri menawarkan insentif baharu itu kerana mahu melihat daerah-daerah di utara Johor membangun selain tidak mahu berlakunya penghijrahan beramai-ramai terutama golongan muda ke luar kawasan masing-masing.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Osman berkata, kerajaan negeri mencadangkan supaya kerajaan Pusat menubuhkan tabung khas dalam usaha membantu isu rumah golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki rumah.
Menurutnya, tabung khas itu akan berperanan memiliki fungsi seperti syarikat jaminan kredit (CGC) yang pernah diwujudkan kerajaan sebelum ini.
“Dalam Mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MMPN) baru-baru ini, saya cadangkan tubuh satu tabung seperti dahulu iaitu CGC bagi membantu industri kecil dan sederhana (IKS) mendapatkan pinjaman dengan kerajaan sebagai penjamin dan pinjamkan kepada mereka yang berkemampuan membuat bayaran balik, tetapi kurang daripada segi pendapatannya.
“Jika mereka tidak bayar juga, kerajaan boleh ambil CGC ini dan tubuhkan dana harta, apabila ekonomi mereka kembali pulih, kita jualkan semula kepada mereka yang mampu bayar,” katanya.
Osman turut menekankan kepada kerajaan supaya melihat bukan hanya membina rumah kepada golongan B40 tetapi juga masalah yang dihadapi golongan itu untuk mendapatkan pinjaman.











