BUKIT MERTAJAM 24 Jan. – Sebuah kedai dua tingkat yang menjual barangan aluminium hangus dalam satu kebakaran di Jalan Kulim, Kampung Baru, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.52 petang itu, empat buah kereta yang diletakkan berhampiran kedai tersebut turut terbakar dengan dua daripadanya iaitu kereta Perodua Myvi dan Perodua Axia musnah 100 peratus.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kebakaran tersebut.
“Ketika pihak bomba tiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai dua tingkat berlaku di situ.
“Anggaran peratusan kemusnahan kebakaran dianggarkan 100 peratus,” katanya, di sini hari ini.
Menurutnya turut terlibat dalam kebakaran itu ialah bangunan di sebelah kedai menjual aluminium tersebut.
“Bangunan tersebut hanya musnah sekitar 30 peratus akibat terkena bahang api dari bangunan sebelah dan api dapat dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 5.24 petang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










