LIPIS 24 Jan. – Pas mengesan taktik kotor pihak tertentu yang cuba mensabotaj dengan mengadakan kempen supaya pengundi khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai tidak keluar mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands pada Sabtu ini.
Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika mendedahkan perkara itu berkata, perkara negatif seperti itu yang melanggar amalan demokrasi amat mengecewakan.
“Kita mengesan ada usaha daripada pihak tertentu dan yang tidak dikenalpasti berkempen supaya tidak payah mengundilah, jangan bazirkan masa dan sebagainya.
“Pada kita itu adalah anti demokrasi. Biarlah rakyat di Sungai Koyan, di Parlimen Cameron Highlands ini boleh melaksanakan hak masing-masing sebagai rakyat untuk mengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Hi-tea Bersama Penduduk Sungai Koyan di Dataran Sungai Koyan, di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, terdapat juga laporan terdapat pihak tertentu yang berkempen dengan cara tidak mesra sehingga mencetuskan suasana yang tidak harmoni. – UTUSAN ONLINE










