KUALA LUMPUR 24 Jan. – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini tidak akan memaafkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana didapati tidak melakukan pembaharuan dalam syarikat milik kerajaan (GLC) seperti mana yang telah dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.
Bekas Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga berkata, kerajaan sepatutnya menubuhkan pasukan petugas dalam melakukan perubahan itu.
Katanya yang juga peguam dan aktivis sosial, permintaan pihaknya untuk menubuhkan pasukan petugas itu adalah perkara kecil dan minimum serta boleh dilaksanakan dengan segera.
“Jika mereka (kerajaan) tidak melaksanakannya, saya mahukan penjelasan daripada PH. Kenapa mereka tidak boleh penuhi permintaan mudah ini?
“Permintaan kami amat mudah. tubuhkan pasukan petugas. Saya rasa kami tidak akan memaafkan Pakatan Harapan. Kami tidak akan maafkan pengkhianatan manifesto yang mana mereka tidak boleh berikan sebarang alasan,” katanya seperti dipetik laporan akhbar The Star di sini hari ini.
Dalam PRU-14, kerajaan PH telah berjanji untuk tidak melantik golongan ahli politik dalam GLC dan agensi-agensi serupa bagi mengelak daripada budaya yang telah lama diperkenalkan Barisan Nasional.
Dalam sidang akhbar berkenaan, Ambiga bersama-sama beberapa aktivis sosial lain turut mengumumkan penubuhan Kluster Perubahan GLC dan badan ini mewakili 50 NGO di seluruh negara.
Baru-baru ini, PH telah dikecam umum berhubung isu pelantikan politik terhadap beberapa jawatan tertinggi GLC.
Dalam pada itu, Ambiga turut mengakui bahawa terdapat beberapa janji yang dibuat kerajaan PH adalah sangat mencabar untuk dilaksanakan.
“Kami akan memaafkan mereka untuk menangguhkan beberapa janji. Tetapi ini (perubahan GLC) bukan salah satu daripadanya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










