LABUAN 25 Jan. – Perbadanan Labuan (LC) akan bekerjasama dengan pengusaha industri pelancongan Sabah untuk menawarkan pakej pelancongan yang menarik bagi merancakkan sektor pelancongan di pulau bebas cukai ini.
Pengerusi LC Datuk Seri Amir Hussien berkata Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah telah memberi persetujuan tentang kemungkinan menjalin kerjasama dengan Labuan bagi menawarkan pakej pelancongan baharu.
Amir berkata LC mesti mewujudkan identiti pelancongan baharu bagi Labuan dengan menawarkan produk pelancongan yang lebih mengujakan serta menghasilkan kempen penjenamaan yang menarik contohnya seperti slogan, The Place You Think You Knew.
“Kami berharap tahun 2019, kita akan dapat melihat peningkatan ketara kedatangan pelancong ke Labuan.
“Kami percaya masih ramai yang menganggap Labuan hanya untuk orang kolar putih kerana pulau ini hanya menumpukan kepada industri minyak dan gas serta hab kewangan luar pesisir antarabangsa,” katanya.
Selain itu orang ramai masih skeptikal untuk melawat Labuan kerana mereka menganggap pulau bebas cukai ini hanya menawarkan minuman beralkohol dan coklat yang murah.
Sebaliknya, Amir menegaskan Labuan mempunyai pelbagai daya tarikan istimewa, dengan panorama pantai yang indah untuk menyaksikan matahari terbenam dan aktiviti rekreasi air, snorkeling dan lawatan ke pulau-pulau.
“Labuan juga mempunyai kecantikan semula jadi dan tapak menyelam seperti Vernon Bank yang belum diterokai sepenuhnya,” tambah beliau.
Justeru beliau yakin usaha itu bakal meningkatkan kembali sektor pelancongan Labuan.- BERNAMA










