KUALA LUMPUR 24 Jan. – Indeks jenayah negara mencatatkan penurunan memberansangkan iaitu sebanyak 11.9 peratus pada tahun lalu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bagi 2018, sebanyak 88,662 kes jenayah dilaporkan di seluruh negara.
“Daripada jumlah itu, curi motosikal menjadi penyumbang tertinggi sebanyak 30.3 peratus dengan 26,779 kes manakala diikuti kes-kes lain iaitu 19,927 (22.5 peratus).
“Bagi kontinjen Kuala Lumpur, kadar jenayah menurun 10.9 peratus iaitu 1,481 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 12,127 kes dilaporkan, tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar ketika hadir di Program Ronda Jenayah di Berjaya Times Square di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPKK) Bukit Aman, Datuk Seri Rosly Ab. Rahman, Pengarah Jabatan Ketenteraman Awam dan Keselamatan Dalam Negeri (KDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim.
Menurut Mohamad Fuzi, pihaknya turut menempatkan pelatih-pelatih dari Pusat Latihan Polis (Pulapol) bersama dengan anggota dan pegawai polis dalam program pencegahan jenayah.
Katanya, itu merupakan salah satu usaha untuk mengurangkan kadar jenayah serta memberi pendedahan kepada pelatih Pulapol berhubung tugasan polis sebelum mereka tamat latihan. – UTUSAN ONLINE










