KUALA LUMPUR 24 Jan. – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membuka tiga kaunter bayaran di pusat beli-belah dan dua kaunter bergerak di sekitar ibu kota sempena Bulan Membayar Cukai Taksiran dari 1 hingga 28 Februari ini.
Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, tiga kaunter bayaran akan dibuka di tingkat 1 AEON Maluri Cheras, tingkat bawah AEON Metro Prima Kepong dan tingkat 1 North Area Mid Valley yang masing-masing beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 9 malam.
Katanya, kaunter bergerak pula akan dibuka bersebelahan pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Bandar Seri Permaisuri, Cheras dari pukul 9 pagi hingga 3 petang pada 1 Februari, 11 hingga 15 Februari dan 25 hingga 28 Februari.
“Selain itu, kaunter bergerak juga akan dibuka di tempat letak kenderaan berhadapan pusat karaoke, Jalan Radin Tengah, Bandar Baru Seri Petaling dari pukul 9 pagi hingga 3 petang pada 4 hingga 8 Februari dan 18 hingga 22 Februari,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Norhaslinda, pembukaan kaunter bergerak kedua pula ialah di hadapan bangunan Wisma Central, Jalan Ampang dari pukul 9 pagi hingga 3 petang, Isnin hingga Jumaat sepanjang Februari.
“Lokasi lain adalah di hadapan Menara YTL Corporation, Jalan Bukit Bintang dan beberapa Badan Pengurusan Bersama (JMB) terpilih yang akan dimaklumkan kemudian dari 9 pagi hingga 6 petang, Sabtu dan Ahad sepanjang Februari,” katanya.
Norhaslinda berkata, kaunter-kaunter itu dibuka khas untuk bayaran cukai taksiran sahaja. – UTUSAN ONLINE










