PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengotakan janji untuk membuat pembayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 fasa pertama pada 28 Januari ini mengikut pangkalan data lama dan kaedah lama.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, ia adalah bukti keprihatinan kerajaan Pakatan Harapan terhadap golongan B40 dan seterusnya memberi impak yang tinggi kepada rakyat.
“Atas keprihatinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembayaran BSH 2019 dijangka memberi manfaat sehingga 4.1 juta isi rumah melalui pembayaran fasa pertama sebanyak RM300 bagi setiap isi rumah.
“Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion dan bayaran akan dimasukkan terus ke dalam akaun bank mereka,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Seperti sebelum ini, Guan Eng sekali lagi menjelaskan, kerajaan terpaksa menggunakan pangkalan data lama yang berkemungkinan besar mengandungi nama penerima yang tidak layak bagi membolehkan pembayaran dibuat secara cepat sebelum bulan depan.
“Proses pemutihan untuk mengeluarkan nama penerima tidak layak berikutan mereka tidak terdiri daripada golongan B40 memerlukan masa yang panjang untuk dilaksanakan,” katanya.
Menurut Guan Eng, setelah pangkalan data dikemas kini, baki bayaran BSH yang disalurkan pada fasa kedua dan ketiga akan menggunakan kaedah baharu seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2019.
“Proses kemas kini data perlu dilaksanakan untuk pembayaran BSH 2019 fasa kedua dan ketiga selaras dengan penambahbaikan program tersebut secara lebih bersasar dan bergantung kepada saiz isi rumah.
“Kriteria pembayaran dan kaedah baharu akan diumumkan dalam jangka masa yang terdekat,” katanya. – K! ONLINE










