DIANGKAT sebagai Tengku Mahkota selama 44 tahun, dua kali menjadi Pemangku Raja Pahang dan dua minggu berada di singgahsana takhta kesultanan Pahang seterusnya dilantik sebagai ketua negara berkuat kuasa 31 Januari ini.
Itu perjalanan dilalui Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 seperti dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja hari ini.
Pelantikan Al-Sultan Abdullah mengetuai negara mengulangi sejarah ayahanda baginda, Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah yang dipilih menjadi Yang di-Pertuan Agong Ketujuh dari 26 April 1979 hingga 25 April 1984.
Sultan Ahmad Shah yang merupakan Sultan Pahang Kelima memerintah Pahang hampir 45 tahun.
Sepanjang berada di singgahsana, nama Sultan Ahmad Shah meniti di bibir rakyat sebagai seorang raja pemerintah mempunyai karektor mesra, prihatin, sederhana dan tegas yang cukup terserlah menerusi sikap baginda yang sering mendahulukan kepentingan rakyat terutama ketika mereka ditimpa musibah serta kesusahan.
Sifat keprihatinan dan penyayang dimiliki Sultan Ahmad Shah itu turut diwarisi oleh Al-Sultan Abdullah. Apa sahaja bencana atau malapetaka menimpa rakyat Pahang, baginda pasti tiba di lokasi kejadian atau tempat-tempat berkaitan jika berkesempatan.
Al-Sultan Abdullah menjadi simbol perpaduan bagi rakyat Pahang yang mana ia dapat dilihat dalam titah baginda dengan sering menekankan tentang soal perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Ketika bertitah pada istiadat pemasyhurannya sebagai Sultan Pahang Keenam di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan pada 15 Januari lalu, Al-Sultan Abdullah berazam menjadikan legasi pemerintahan ayahandanya yang berpaksikan kepada frasa keramat ‘raja dan rakyat berpisah tiada’ sebagai cogan utama pemerintahannya.’
“Kepada rakyat jelata sekalian, saya ini tidak ubah ‘bagai condong yang akan menongkat, bagai rebah yang akan menegak’. Kepada sayalah tempat sekalian rakyat menumpang teduh apabila dilanda musibah dan menumpang kasih apabila berduka,” titahnya yang menggambarkan kesungguhan dan betapa kasih dan sayangnya baginda kepada rakyat.
Hakikatnya, sifat Al-Sultan Abdulah, 60, yang diwarisi daripada ayahandanya sudah diketahui umum termasuk para pembesar Pahang seperti mana kata Menteri Besar, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail:
“Pepatah orang tua-tua ada mengatakan, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Inilah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan yang menjadi kebanggaan patik, pacal-pacal dan rakyat jelata sekalian. Pantang mendengar kesusahan, keperitan rakyat, Tuanku segera hadir untuk berdamping dengan rakyat jelata.
“Ini sangat menepati dengan apa yang telah sebati dengan sikap keluarga diraja di negeri ini, betapa ‘raja, rakyat sehati sejiwa, raja rakyat berpisah tiada’. Tentunya apa yang dilakukan oleh Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah telah menjadi teladan yang utama oleh Tuanku.”
Tempoh 44 tahun sebagai Tengku Mahkota Pahang sejak 1975 dan dua kali sebagai Pemangku Raja Pahang pasti memberi pengalaman berharga kepada Al-Sultan Abdullah untuk mengendalikan urusan negara dalam memayungi rakyat sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.
Sesungguhnya, pemilihan Sultan Pahang Keenam tersebut sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 adalah ketentuan Allah SWT. Sepertimana yang dititahkan baginda berhubung peluang untuk berada di kedudukan itu: “Kalau sudahpun tercatat saya ke situ, ke situlah saya.”
Mengimbas kembali, pelantikan Al-Sultan Abdullah sebagai Sultan Pahang Keenam dalam era moden membuka ruang kepada baginda untuk ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong baharu.
Hal demikian kerana sudah tiada halangan bagi membolehkan Al-Sultan Abdullah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong sekali gus menjadikannya sebagai calon pilihan.
Jawatan ketua negara itu kosong apabila Sultan Muhammad V meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-15 pada 6 Januari lalu yang dibuat selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.
Mengikut tradisi giliran, jawatan Yang di-Pertuan Agong selepas Kelantan adalah Pahang diikuti Johor dan Perak namun keputusan pemilihannya dibuat oleh Majlis Raja-raja.
Pemilihan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pasti disambut dengan perasaan syukur dan ceria oleh seluruh rakyat yang bertuah berada di bawah naungan baginda.
Daulat Tuanku! – UTUSAN ONLINE










