Korea perlu perbaiki prestasi - Utusan Malaysia

Korea perlu perbaiki prestasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI 23 JAN. – PEMAIN Korea Selatan, Son Heung-min melaksanakan tugasnya dengan baik dalam kempen Piala Asia 2019, namun, memberi amaran kepada rakan sepasukan agar beraksi lebih bagus andai mahu menamatkan penantian 59 tahun bergelar juara.

Bintang Tottenham Hotspur itu membantu Korea Selatan meraih kemenangan 2-1 ke atas Bahrain dalam saingan 16 terbaik, untuk ke suku akhir bertemu Qatar yang menewaskan Iraq 1-0.

Pemain berusia 26 tahun itu berkata, dia tidak berpuas hati dengan persembahan pasukannya dalam perlawanan tersebut kerana percaya mereka mampu beraksi dengan lebih baik lagi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tambahnya, pengalaman bermain dalam Liga Perdana Inggeris akan membantunya mengharungi perlawanan menentang Qatar, Jumaat ini di Bandar Sukan Zayed, Abu Dhabi.

“Saya rasa kami mampu bermain lebih baik daripada apa yang dipamerkan ketika ini. Kami berjaya meraih keme­nangan, tetapi persembahan tidaklah sehebat mana. Kami tidak sabar untuk beraksi pada suku akhir, satu lagi perlawanan sukar yang bakal kami hadapi,” katanya.

Kehadiran Heung-min berjaya meraih perhatian, namun, pemain itu kadang kala menjadi sasaran permainan kasar dan dalam nada menyindir katanya, dia mungkin menjadi sasaran sepanjang pertandingan peringkat benua itu berlangsung.

“Kadang kala memang sukar apabila anda beraksi dengan sebuah pasukan yang meletakkan 10 pemain di benteng pertahanan, anda tidak mendapat ruang dan setiap orang boleh menjadi sasaran. Kami perlu belajar daripadanya dan bermain lebih bagus,” ujar Heung-min.

Heung-min hanya menyertai rakan sepasukannya di Emiriah Arab Bersatu dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang China, yang menjadi sebahagian daripada perjanjian dengan Spurs setelah membenarkan dia beraksi untuk pasukan negaranya pada Sukan Asia, tahun lalu. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini