SHAH ALAM 23 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini daripada DAP berhubung kes tuntutan palsu berjumlah RM30,000.
Lelaki berusia 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang tadi selepas hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor.
Menurut sumber, suspek berhadapan dengan tuduhan membuat tuntutan palsu bagi dua program kemasyarakatan pada 2015 yang dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000.
“Mengikut siasatan program tersebut tidak pernah dilaksanakan. Oleh demikian, suspek didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Lelaki terbabit akan didakwa esok di Mahkamah Shah Alam,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun enggan mengulas lanjut. – UTUSAN ONLINE










