MUKADIMAH
PRESIDEN Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam meramalkan Barisan Nasional (BN) mampu mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 26 Januari ini. Faktor calon dilihat menjadi kelebihan buat BN untuk menarik pengundi terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang majoritinya pengundi Melayu dan Orang Asli. Wartawan Utusan Malaysia, SAYED HESHAM IDRIS menemu bual Lokman mengenai PRK Parlimen Cameron Highlands.
UTUSAN: Setakat ini bagaimana peluang BN untuk menang?
LOKMAN: Setakat ini BN boleh menang cuma belum menang selesa. BN baru pada tahap boleh menang, jentera pun bekerja amat baik. Saya melihat faktor calon iaitu dari masyarakat Orang Asli, Ramli Mohd. Nor mampu menarik pengundi. BN letak calon yang saya sifatkan sebagai bebas iaitu bukan dari UMNO, Pas atau MIC tapi daripada keturuan kaum Semai yang mempunyai pendidikan tinggi dan mempunyai kedudukan yang baik dalam masyarakat.
Bagaimana pula peluang Pakatan Harapan (PH)?
PH terjejas banyak apabila BN meletakan calon Orang Asli kerana mereka ingat boleh tarik banyak undi Orang Asli menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di bawah kerajaan Pusat. Mereka cuba sabotaj supaya Orang Asli menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Guan Eng tapi kita lihat Tok Batin pun tak mahu pergi ke majlis mereka. Ini menyebabkan seorang daripada pegawai Jakoa di pejabat di Tanah Rata telah dipindahkan 24 jam ke Gua Musang.
Apa perkara yang boleh menjejaskan peluang BN untuk menang?
Yang paling kita bimbang ialah kalau berlaku penipuan, sebab kita tahu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) (Azhar Azizan Harun) pun orang dia (PH) juga. Timbalannya dan lima panel SPR belum ada, jadi Pengerusi SPR ini berkuasa penuh. Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman kini menjadi Naib Presiden Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) orang yang ada pengalaman dan lama dengan Dr. Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad). Dia (Abdul Rashid) tahu bagaimana nak menipu, dialah yang memainkan peranan, cuma sekarang PH dah letak Azhar Azizan pula.
Apakah bentuk sabotaj yang mungkin berlaku?
Banyak benda berbentuk sabotaj, contohnya orang tua kena mengundi di tingkat tiga, cuba bayangkan orang tua mengundi di tingkat tiga. Sampaikan semasa saya bertanding dalam PRK DUN Sungai Kandis orang tua tak nak keluar mengundi sebab fobia sebab kena naik sampai tingkat tiga. Selain itu, contoh sabotaj ialah taktik menyebabkan orang muda terpaksa menunggu lama sehingga tiga empat jam untuk mengundi seperti dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyebabkan mereka marah kepada kerajaan BN pada masa itu.
Bagi PRK di sini apakah bentuk sabotaj yang mungkin dilakukan?
Kita dapat maklumat mereka (PH) `target’ jika nak menang mereka kena pastikan Orang Asli tak mengundi BN. Apa yang mereka buat ialah cuba buat sesuatu untuk memastikan 2,000 orang undi Orang Asli yang putih, maknanya yang mereka kenal pasti orang yang sokong BN, mereka membeli undi. Tapi pembelian undian itu tidak berlaku terus kepada orang yang `hardcore’ BN menggunakan pihak yang ketiga. Kita dah dapat kesan perancangan mereka dan kita dah hantar ‘team’ duduk di sana tinggal di sana untuk pastikan dan kita akan cuba perangkap dan dapatkan bukti.









