Bekas pengurus kanan ditahan bantu siasatan kes rasuah RM2 juta - Utusan Malaysia

Bekas pengurus kanan ditahan bantu siasatan kes rasuah RM2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Seorang bekas pengurus kanan sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes menerima suapan dianggarkan bernilai lebih RM2 juta hari ini.

Menurut sumber, lelaki berusia 40 tahun itu ditahan pada pukul 4.35 petang tadi sewaktu hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.

Jelasnya, siasatan awal mendapati lelaki itu telah menerima suapan bernilai lebih RM2 juta daripada sebuah syarikat sebagai balasan bagi meluluskan nota kredit untuk tujuan rebat, insentif dan pengiklanan komponen komputer kepada penjual yang dikeluarkan kepada syarikat terbabit.

“SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadapnya pagi esok di Mahkamah Majistret Putrajaya.

“Kita juga sedang mengesan beberapa lagi individu bagi membantu siasatan kes yang sama,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurutnya, bekas pengurus kanan itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu namun tidak mengulas lanjut berhubung kes berkenaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×