KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengenalpasti 10 kawasan panas yang akan diberi tumpuan semasa Ops Selamat pada 29 Januari depan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, 10 jalan tersebut ialah Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Ipoh, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta, Jalan Sungai Besi dan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).
“10 jalan tersebut dipilih berdasarkan kes kemalangan yang sering dicatatkan semasa Op Selamat tahun lalu.
“Untuk Op Selamat tahun ini, sebanyak 13 pegawai kanan dan 186 anggota akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan jalan raya dan kelancaran lalu lintas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran kempen Op Selamat 14 bersempena Tahun Baru Cina di Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee, di sini hari ini.
Menurut Mazlan, Ops Selamat kali ini akan memberi tumpuan kepada enam kesalahan trafik iaitu pandu laju, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, salah guna lorong kecemasan, potong barisan, potong garisan berkembar dan langgar lampu isyarat.
“Kita juga akan memastikan keselamatan rumah yang ditinggalkan oleh individu yang pulang ke kampung halaman dengan meningkatkan rondaan.
“Justeru, orang ramai diminta mengisi borang balik kampung yang telah disediakan di setiap balai polis,” jelasnya. – K! ONLINE











