SUNGAI BULOH – Polis berjaya menumpaskan seorang lelaki yang digelar ‘Man Cindian’ yang mendalangi 12 kes pecah rumah di sekitar daerah ini sejak tujuh bulan lalu.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa’aton Abu Bakar berkata, lelaki warga tempatan berusia 38 tahun itu ditahan pada 14 Januari lalu kurang empat jam selepas dia menyamun sebuah rumah di Taman Kuang Raya.
“Turut ditahan berkaitan kes tersebut adalah empat lelaki warga tempatan berusia antara 25 hingga 31 tahun.
“Seorang daripadanya bertindak sebagai orang tengah dengan membantu suspek utama menjual hasil barangan pecah rumah kepada pelanggan di sekitar Lembah Klang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh di sini hari ini.
Shafa’aton menambah, suspek bergerak sendiri untuk menjalankan kegiatan jenayahnya dan menyasarkan rumah yang penghuninya keluar bekerja terutamanya pada waktu pagi.
“Dia akan memotong kunci di bahagian belakang rumah mangsa sebelum masuk dan mencuri barangan berharga.
“Dua daripada suspek mempunyai 17 rekod lampau berkaitan kes Jenayah dan dadah,” ujarnya.
Polis turut merampas beberapa barangan dari kediaman suspek utama antaranya sebuah kereta jenis Perodua Myvi, komputer riba, tablet, kunci kereta berjenama Honda dan juga dua keping wang kertas negara asing.
Dua daripada suspek berkenaan direman sehingga hari ini manakala dua lagi mendapat jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – K! ONLINE











