LIPIS 22 Jan. – Masalah liputan talian komunikasi yang terus berlarutan di daerah ini khususnya di kawasan penempatan masyarakat Orang Asli yang begitu kritikal menjadi masalah kepada golongan itu.

Ketiadaan talian komunikasi menyebabkan masyarakat Orang Asli terpaksa keluar mencari kawasan yang mempunyai liputan termasuklah di luar kampung atau kawasan tinggi.
Batin Kampung Sentol, Harun Lingwar, berkata, ketiadaan liputan telekomunikasi menyukarkan masyarakat Orang Asli untuk berhubung dan seolah-olah mereka ditinggalkan dalam arus pembangunan negara.
“Mungkin orang luar yang datang ke sini sempena pilihan raya mengeluh kerana tiada liputan telekomunikasi tetapi inilah yang kami hadapi setiap hari.
“Jadi kami kadangkala terpaksa mengambil risiko ke kawasan yang tinggi dan semak serta berbahaya bagi mendapatkan talian telefon,”katanya ketika ditemui di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










