MADRID 22 Jan. – Penyerang Ghana, Kevin-Prince Boateng melaungkan amaran bahawa dia bersedia untuk mencipta kejutan bersama Barcelona selepas dipinjamkan ke kelab tersebut dari kelab Itali, Sassuolo.
Pendahulu La Liga itu berkata mereka telah bersetuju dengan perjanjian untuk mengambil Boateng secara pinjaman hingga hujung musim ini dengan pilihan untuk membuat perpindahan secara tetap pada musim panas nanti.
“Perjanjian termasuk pilihan pembelian sebanyak 8 juta euro (RM37 juta),” kata Barcelona dalam satu kenyataan.
Kehadiran pemain berusia 31 tahun itu bakal digandingkan dengan Luis Suarez di bahagian serangan selepas skuad kendalian Ernesto Valverde itu kehilangan khidmat Munir El Haddadi yang berpindah ke Sevilla.
“Dia tidak memerlukan masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan pasukan, dia tahu apa yang perlu dilakukan dan boleh mula bermain dengan segera. Dia selesa dengan pelbagai posisi seperti penyerang di bahagian tengah atau diletakkan di bahagian depan,” kata Valverde. – AFP










