AL AIN, Emriah Arab Bersatu 22 Jan. – Biarpun melepasi cabaran getir Uzbekistan untuk mara ke suku akhir Piala Asia, namun Australia terpaksa menahan kecewa kerana kehilangan bintang tengah, Tom Rogic.
Skuad socceroos memerlukan penentuan sepakan penalti 4-2 untuk mengetepikan Uzbekistan pada pusingan 16 terbaik hari ini selepas perlawanan terikat 0-0 di Stadium Antarabangsa Sheikh Khalifah.
Juara bertahan itu bagaimanapun akan menentang tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sabtu ini tanpa perancang utama jentera serangan, Rogic yang digantung perlawanan selepas menerima kad kuning kedua.
Bintang Celtic itu sebelum ini sudah mengutip kad kuning pertama ketika Australia membenam Palestin 3-0 dalam peringkat kumpulan.
Dalam aksi hari ini, Rogic menerima kad kuning kontroversi selepas dikatakan mengkasari pertahanan lawan pada minit ke-20 biarpun kelihatan mereka berlaga secara tidak sengaja.
“Kad kuning itu agak keras kerana Tommy jelas tiada niat mengkasari lawan.
“Perkara seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak. Kami ada pilihan dan saya mungkin kena menukar sistem jika perlu.
“Kami kena kaji dulu permainan UAE esok dan lihat apa opsyen atau sistem terbaik yang boleh digunakan,” kata jurulatih Australia, Graham Arnold. – AGENSI










